• Mohd Daud menunjukkan rumpai miang mexico yang tumbuh di atas kubur di Tanah Perkuburan Islam Tampin Tengah/Repah, semalam.Mohd Daud menunjukkan rumpai miang mexico yang tumbuh di atas kubur di Tanah Perkuburan Islam Tampin Tengah/Repah, semalam.
 1 / 1 
TAMPIN – Rata-rata penduduk yang menziarahi Tanah Perkuburan Tampin Tengah/ Repah, dekat sini, kelmarin, terkejut apabila mendapati rumpai miang mexico tumbuh meliar di tanah perkuburan berkenaan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah Repah, Mohd Daud Janor, 62, sebelum ini dia tidak menyedari terdapat tumbuhan berbahaya itu tumbuh meliar di kawasan itu.

“Bagaimanapun, ketika kami menguruskan pengebumian salah seorang penduduk, kami terkejut apabila ada rakan memaklumkan tumbuhan meliar di atas kubur itu ialah rumpai miang mexico.

"Ada yang sudah berbunga dan tumbuh tinggi. Jadi, saya berharap agar Jabatan Pertanian akan dapat mengenal pasti tumbuhan ini dan sekiranya benar rumpai miang mexico, saya harap tumbuhan terbabit akan dimusnahkan,” katanya, semalam.

Tambah Mohd Daud, tindakan memusnahkan tumbuhan itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan penduduk mengalami masalah kesihatan.

“Bukan hanya orang dewasa, malah kanak-kanak juga turut menziarahi tanah perkuburan ini dan kita bimbang tumbuhan ini memberi kesan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, selain tumbuh di atas kubur, rumpai miang mexico berkenaan juga sudah hidup meliar di kawasan tanah perkuburan tersebut.