“Ilyas pergi bawa hati mama..pergilah sayang, mama reda sayang”




Laman Facebook yang memaparkan kisah Muhammad Ilyas.


Kanak-kanak lelaki, Putra Muhammad Ilyas Rahizalkhiri yang mendapat liputan media akibat penyakit Biliary Atresia, dua tahun lalu, dilaporkan meninggal dunia, semalam.

Melalui laman Facebook, Putra Muhammad Ilyas - Billiary Atresia yang diwujudkan sendiri ibunya, Sazariah Abdul Aziz memaklumkan, kanak-kanak berusia 4 tahun itu, pulang ke rahmatullah jam 2.40 petang di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Fair Park selepas solat Asar.

Dalam status yang dimuat naik itu, Sazariah meluahkan kehadiran Muhammad Ilyas sebelum ini memberi banyak perubahan dalam kehidupan mereka sekeluarga.

“Ilyas pergi bawa hati mama...pergilah sayang, mama reda sayang...,” tulisnya.

Kanak-kanak berkenaan menerima rawatan di HRPB sejak 15 Januari lepas selepas mengadu sakit perut dan muntah.

Pada November 2014 lepas, hasil sumbangan pelbagai pihak bagi menampung kos rawatan mencecah RM150,000, Muhammad Ilyas selamat menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Gangga Ram, India.

Sejak itu, anak bongsu daripada enam beradik berkenaan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain.

0 Response to "“Ilyas pergi bawa hati mama..pergilah sayang, mama reda sayang”"

Catat Ulasan