Jenazah pelawak Yus atau nama sebenar Yussry Edoo, 39, telah selamat dikebumikan kira-kira jam 2.45 petang semalam, di tanah perkuburan Islam Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam, Bintong.
Ribuan peminat termasuk saudara mara, rakan artis turut melawat dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan tersebut.
Antara rakan artis yang kelihatan ialah Angah, Tauke (Jambu), Achey dan Abam (Bocey) Khairi Safwan, Ajak (Shiro), Roy Azman, R2 dan beberapa lagi artis Raja Lawak.
Yus anak bongsu dari tiga adik beradik merupakan anak yatim piatu dan hanya mempunyai seorang abang yang masih hidup.
Abang kepada Yus, Jaafar Edoo, 53, memberitahu bahawa adik bongsunya itu pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin ketika mereka bertemu dua minggu lalu semasa dia pulang ke kampung tersebut.
Kata Jaafar, Yus tidak pernah memberitahu nama gadis itu namun arwah telah mengumpul duit untuk melangsungkan perkahwinannya.
“Selain itu arwah juga pernah merancang untuk membina rumah di kampung ini. Saya rasa terkilan hasratnya itu belum tercapai, bagaimanapun Tuhan lebih menyayanginya,” kata Jaafar ketika ditemui di pekarangan Masjid Nurul Iman.
Tambah Jaafar, adiknya itu tidak pernah melupakan kampung halamannya malah sering tidur di rumah saudara mara termasuk rumah rakan-rakan sekampungnya apabila pulang.
“Yus selalu membantu saya malah jika saudara mara lain dalam kesusahan dialah yang banyak membantu,” katanya lagi.
Sementara itu menurut Angah, sepanjang mengenali Yus sejak penyertaan mereka dalam pertandingan Raja Lawak 2007, Yus tidak pernah mengadu sakit.
Katanya Yus seorang yang pendiam namun memberi komitmen apabila berada di atas pentas atau semasa di set penggambaran.
“Dia juga tidak berkira soal wang ringgit malah selalu berkongsi hasil kerjanya dengan rakan-rakan lain, cuma apabila pernah diserang sesak nafas awal tahun lalu, dia sering menasihati saya supaya menjaga makan.
“Terlalu banyak kenangan saya bersama Yus, malah saya pernah tinggal serumah dengannya, baru-baru ini juga arwah ada mencadangkan supaya saya menerbitkan silent komedi, tetapi itu masih di peringkat cadangan, tak sangka sahabat saya ini akan pergi dulu ”ujarnya.
Angah memberitahu dia mendapat berita mengenai kematian Yus kira-kira pada jam 11.30 malam kelmarin selepas dihubungi oleh Mie Raja Lawak yang dalam perjalanan ke Hospital Selayang.
0 Response to "SAYU! Hajat Yus mahu kahwini Si Dia tak tercapai"
Catat Ulasan