NABIL AHMAD KONGSIKAN LUAHAN YANG KINI SEDANG MENGERJAKAN HAJI



Dijemput menjadi tetamu Allah menunaikan ibadah haji tahun ini anugerah terindah dalam hidup pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad. Rezeki menjejakkan kaki ke ke tanah suci Makkah tidak dipersia-siakan. Apatah lagi, ia menjadi idaman semua umat Islam.

“Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Terlalu banyak nikmat dan hikmah diberikan Allah SWT. Saya bersyukur kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda. Terima kasih kepada sahabat saya kerana sudi bawa saya dan 20 jemaah lain. Semoga dia dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” katanya kepada Harian Metro.

Nabil memaklumkan berasa tenang apabila berada di kota Makkah sejak 19 September lalu.



“Betul kata orang, tak ada tempat lebih tenang selain rumah Allah. Meskipun dibanjiri lautan manusia dari seluruh dunia, ketenangan tetap dirasai. Setiap kali sembahyang di Masjidil Haram, Allah saja tahu perasaan itu. Saya tak fikirkan perkara lain sebaliknya berdoa memohon keampunan daripada-Nya. Insya-Allah jika ada rezeki dan dipanjang usia, saya berazam untuk ke sini lagi (Makkah). Ikut perancangan November nanti saya mahu bawa isteri menunaikan umrah,” katanya.

Sambung Nabil, dia turut merancang menghantar ibu bapa dan mentuanya menunaikan ibadah haji tahun depan. Nabil yang dijangka pulang ke tanah air pada 30 September ini tidak mahu terlalu berbangga dengan gelaran haji kerana baginya apa yang lebih penting adalah jiwa semakin dekat de­ngan Allah.

“Sesiapa saja yang sudah menunaikan haji pasti diberikan syafaat dalam dirinya. Banyak atau sikit, pasti tuan punya badan merasainya. Kita juga tak tahu perubahan itu ketara atau tidak. Sebagai contoh, mungkin penampilan individu itu tetap sama, tetapi dia memperbanyakkan amal ibadah. Mungkin juga seseorang itu semua perkara termasuk penampilannya. Bagi saya, paling penting adalah hati lebih dekat dengan Allah,” katanya.

Jelas Nabil lagi, dia juga tidak perlu berubah secara drastik berikutan sudah menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Saya manusia biasa dan masih banyak kekurangan. Tidak semestinya pulang dari Makkah segala ilmu pengetahuan agama sudah penuh di dada. Jadi apa saya cuba lakukan adalah berubah secara perlahan-lahan. Kebanyakan manusia berubah apabila usia kian meningkat. Dan, Allah sentiasa memberi pengingatan kepada hamba-Nya,” katanya.

Soal kerjaya pula, Nabil mengakui lebih selektif dan berhati-hati.

“Saya terus mengacara dan berlakon. Tidak ada istilah bersara kerana pekerjaan saya kini juga satu ibadah. Cuma, selepas ini ada yang perlu dibataskan. Bukan bermakna dulu terlalu bebas, tetapi tidak salah jika berubah ke arah lebih positif. Bukan saja untuk diri sendiri, tetapi orang sekeliling juga,” katanya.

Sepanjang berada di Makkah, bapa kepada dua cahaya mata perempuan ini turut berdoa dikurniakan anak lelaki.

0 Response to "NABIL AHMAD KONGSIKAN LUAHAN YANG KINI SEDANG MENGERJAKAN HAJI"

Catat Ulasan