“Saya tahu kamu tidak bersalah tetapi saya tidak dapat membantu kamu; saya amat merindui kamu,” kata Shang Aiyun di pusara remaja bernama Huugjilt yang dihukum mati, 18 tahun lalu.
Wanita tersebut bersama suami dan ahli keluarganya mengunjungi pusara anak mereka dan membakar salinan keputusan mahkamah mengikut ritual agama mereka “untuk memberitahunya sabitan salah telah diperbetulkan,” menurut ahli keluarga mereka dalam akaun laman sosial, Weibo.
Perasaan hiba ahli keluarga tersebut cukup difahami kerana selepas bertahun-tahun dihukum mati, Huugjilt akhirnya dibebaskan daripada kesalahan merogol dan membunuh seorang wanita oleh Mahkamah Tinggi Mongolia pada 15 Disember lalu.
Perbicaraan semula oleh mahkamah tersebut memutuskan bahawa Huugjilt, yang berusia 18 tahun telah disabitkan secara salah atas tuduhan berkenaan.
Mahkamah sebelum ini mendapati Huugjilt bersalah merogol dan membunuh mangsa di dalam tandas awam di Hohhot pada 9 April 1996. Dia menjalani hukuman mati dua bulan selepas dijatuhi hukuman tersebut.
Walau bagaimanapun pada 2005, seorang perogol bersiri dan pembunuh, Zhao Zhihong memberitahu pihak polis bahawa dia yang melakukan jenayah tersebut. Namun perbicaraan semula hanya dijalankan pada November lalu.
Seorang pegawai mahkamah memohon maaf kepada keluarga Huugjilt, yang telah mengemukakan petisyen kepada pihak kehakiman sejak 2006 untuk perbicaraan semula, lapor media tempatan.
“Kita memperoleh pengajaran yang begitu menyayat hati melalui kes ini; kami memohon maaf,” kata Zhao Jianping yang merupakan timbalan presiden mahkamah tersebut.
Jianping turut menyerahkan wang sebanyak 30,000 yuan (RM16,949) kepada ibu bapa remaja berkenaan, Li Sanren dan Aiyun sebagai tanda simpati, menurut agensi berita tempatan, Xinhua.
Ironinya, pembebasan Huugjilt diputuskan tiga hari selepas Mahkamah Agung negara itu mengarahkan Mahkamah Tinggi Wilayah Shandong menyemak semula satu lagi kes kontroversi.
Kes itu melibatkan Nie Shubin, 21, yang disabitkan atas tuduhan merogol dan membunuh seorang wanita pada 1994 dan dihukum mati setahun kemudian. Namun begitu, pada tahun 2005, seorang lelaki bernama Wang Shujin yang ditangkap bagi satu jenayah lain, mengaku melakukan pembunuhan tersebut.
Mahkamah tertinggi di Hebei yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Shubin menyatakan, akan menyemak semula kes itu tetapi tidak banyak perkembangan dilakukan dalam tempoh sembilan tahun.
Peningkatan kesilapan menjatuhkan hukuman terhadap orang yang tidak bersalah seperti Huugjilt dan Shubin turut menyebabkan orang awam tidak berpuas hati. Berikutan itu, China telah memulakan tindakan pembaharuan kehakiman, termasuk mengurangkan penggunaan hukuman mati.
Pada Ogos lalu, kerajaan negara itu telah mempertimbangkan untuk menghapuskan sembilan jenis jenayah daripada senarai kesalahan yang boleh dihukum mati, dalam draf pindaan ke atas undang-undang jenayah.
Di China, sebanyak 55 kesalahan jenayah memperuntukkan hukuman mati termasuk kes penipuan dan pinjaman wang secara haram.
Meskipun begitu, sistem kehakiman negara itu tetap dikritik sebagai tidak mempunyai kebebasan dengan pegawai-pegawai kerajaan didakwa sering mengawal keputusan mahkamah dan pihak pendakwaan menggunakan `pengakuan’ yang diperoleh melalui seksaan anggota polis.
Xu Xin iaitu seorang profesor undang-undang di Institut Teknologi Beijing telah lama mendesak agar semakan dilakukan terhadap kedua-dua kes itu.
Menurutnya, tanpa pembaharuan dasar untuk memperbaiki kebebasan kehakiman, “akan terdapat lebih banyak sabitan salah walaupun sebahagian daripadanya telah diperbetulkan”.
Profesor undang-undang di Universiti Peking, He Weifang pula berkata, kedua-dua semakan kes itu merupakan keputusan penting tetapi hanya sedikit dilakukan untuk memperbaharui kehakiman.