Waktu kelahiran mereka menyebabkan Jaelyn (kiri) menjadi bayi terakhir lahir di San Diego bagi tahun 2015 dan Luis (kanan) sebagai bayi pertama daerah itu bagi tahun 2016. - Foto fail
Maribel Valencia tidak berhenti-henti merenung jam dinding yang hampir menunjukkan jam 12 tengah malam. Suaminya, Luis ada di sisi.
Pembedahan Caeserean yang dirancang pada 6 Januari dibatalkan apabila kandungan mereka memberi isyarat mahu muncul ke dunia pada hari terakhir tahun 2015.
Mereka sama-sama berharap agar sempena tahun baru, mereka bakal merai anak kembar di dewan bersalin Pusat Perubatan Kaiser Permanente Zion.
Namun takdir ada perancangan tersendiri.
Cahaya mata kembar milik keluarga Valencia itu bakal berkongsi tahun lahir berbeza buat selama-lamanya.
Seorang bayi lahir pada minit terakhir tahun 2015 manakala seorang lagi muncul ke dunia selepas dua minit tahun baru 2016 diraikan.
Menurut petugas hospital, bayi perempuan, Jaelyn lahir pada jam 11:59 malam 31 Disember 2015 manakala bayi lelaki, Luis lahir pada jam 12:02 pagi hari berikutnya.
Laporan hospital menyatakan kedua-dua kembar itu lahir dengan ketinggian 47 sentimeter. Jaelyn mencatat berat 2.23 kilogram manakala Luis seberat 2.52 kilogram.
Maribel bertugas sebagai juruwang di Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego manakala Luis berkhidmat sebagai mekanik bagi Tentera Laut Amerika Syarikat. Selain Jaelyn dan Luis, mereka mempunyai seorang lagi cahaya mata, Isabella, yang berusia tiga tahun.
“Peristiwa ini begitu istimewa,” ujar jururawat Lynnette Coetzee. “Saya tidak pernah melihat kejadian sebegini sepanjang 34 tahun menjadi jururawat.”
0 Response to "Keajaiban Bayi Lahir Kembar Terpisah '3 minit'"
Catat Ulasan