ERIN MALEK SELAMAT BERSALIN, REDHA KEMATIAN SEORANG BAYINYA





Tahniah diucapkan kepada pelakon, Erin Malek yang baru sahaja melahirkan anak sulung hasil perkahwinannya dengan suami, Farriz Fauzy, semalam. Bayi lelaki tersebut selamat dilahirkan pada jam 9.27 pagi.

Menerusi akaun Instagram pelakon itu, dia memuat naik gambarnya bersama suami dan bayi mereka berserta kapsyen mengenai rasa gembiranya dengan kehadiran buah hati pertama mereka, Mohamed Faliq bin Mohamed Farriz.

Namun begitu, dalam kapsyen yang sama, Erin turut meluahkan rasa dukanya mengenai seorang lagi bayi kembarnya, yang tidak dapat diselamatkan.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa seorang lagi kembar kepada Faliq, telah meninggal dunia ketika mencecah minggu ke-16 kehamilan.

"Jantungnya terhenti akibat lebihan cecair di dalam tubuhnya dan menyebabkan badannya membengkak. Doktor menasihatkan kami, dan memberitahu bahawa saya masih boleh meneruskan kehamilan sehingga bulan kesembilan," katanya.

Erin turut berkongsi, setiap kali memandang Faliq akan mengingatkannya kepada bayi kembar mereka yang telah kembali ke Rahmatullah.

Namun begitu, dia dan suami yakin setiap apa yang berlaku adalah ketentuan dari Allah. Dia juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan kenalan yang banyak menyokong dan berdoa untuk kesejahteraan keluarga kecilnya.

Tahniah dan takziah kami ucapkan kepada Erin dan Farriz. Semoga Erin akan bertambah kuat, dan menjalani tempoh berpantang dengan lancar tanpa sebarang masalah.

0 Response to "ERIN MALEK SELAMAT BERSALIN, REDHA KEMATIAN SEORANG BAYINYA"

Catat Ulasan