Kluang : “Dia jarang makan sebegitu banyak sehingga ditegur suaminya,” kata Som Neemat, 67, ibu kepada Suziyani Samat, 33, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Kluang-Teck Wah Heng, di sini, pagi semalam.
Som berkata, Suziyani sempat singgah di rumahnya di Kampung Kolam Air, Simpang Renggam, kelmarin selepas tamat bertugas jam 5 petang dan membawanya makan soto dan pisang goreng di gerai berdekatan.
“Dia makan seperti orang kelaparan dua tiga hari dan selama ini dia tidak pernah berkelakuan seperti itu, malah sejak seminggu lepas dia menjadi pendiam, namun kuat makan,” katanya.
Menurut Som, anak kelima daripada enam beradik itu juga memintanya memasak ulam pucuk ubi kayu sedangkan sebelum ini dia tidak pernah memakan ulam seperti itu.
“Walaupun reda dengan kehilangannya, saya terkilan kerana permintaan terakhirnya untuk makan ulam pucuk ubi kayu tidak kesampaian,” kata ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang, semalam.
Suami mangsa, Sarjan Md Rawzar Yunus, 35, anggota Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) Kem Mahkota Kluang berkata, isterinya tidak pernah menunjukkan sebarang kelainan sejak akhir-akhir ini kecuali gemar makan makanan yang tidak disukainya sebelum ini.
“Pagi tadi (semalam), dia bangun awal dan menyiapkan Maggi goreng untuk dibawa kepada murid di bawah jagaannya.
“Perkara ini tidak pelik, dia selalu berbuat demikian kerana baginya semua murid bagaikan anaknya sendiri,” katanya.
Suziyani adalah Pembantu Pengurusan Murid PraSekolah Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar, Simpang Renggam dan berkahwin dengan Md Rawzar tujuh tahun lalu, namun belum dikurniakan cahaya mata.
Dalam pada itu, Asrawani Ibrahim, 33, guru PraPendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar berkata, kebiasaannya Suziyani bertanggungjawab membuka kelas setiap pagi.
“Pagi tadi (semalam), apabila datang ke sekolah saya melihat kelas PraPendidikan Khas belum dibuka menyebabkan timbul tanda tanya kerana sebelum ini dia tidak pernah lewat.
“Saya terkejut selepas dimaklumkan dia terbabit kemalangan dan menangis kerana semalam dia meminta saya memasak pucuk ubi untuk dimakan ketika waktu rehat,” katanya.
0 Response to "Suziyani Mangsa kemalangan kempunan ulam pucuk ubi - Ibu"
Catat Ulasan