Penyelidik maut selepas pulang rindu pada suami dan anak berusia tujuh bulan (5 foto)



Seorang penolong pegawai penyelidik di Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang yang baharu sahaja balik me­lawat anak dan suaminya, maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 42.5, Jalan Muar-Segamat di Sagil pagi ini.


Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, Nor Hidayah Mohtar, 27, yang memandu kereta Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.


Ketika kejadian, mangsa yang juga sepupu kepada Ketua Biro Utusan Malaysia Putrajaya, Norliza Abd. Rahman dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Jementah menuju ke Plaza Tol Tangkak.








Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, apabila sampai di tempat kejadian berhampiran sebuah kuil, kereta mangsa terlanggar anjing.


“Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu Nor Hidayah terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori 10 tan. Mangsa tidak sempat mengelak kerana jarak lori itu terlalu dekat.


“Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lori, Husaimi Mohd. Nashtiai, 34, hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini.


Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Sebatu, Merlimau, Melaka dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, Ke­tua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Izuan Mohammad berkata, sembilan anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.


“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian kaki. Kita berjaya mengeluarkan mayatnya melalui pintu di tempat duduk pemandu,” katanya.


Dalam pada itu, Norliza berkata, Nor Hidayah pulang hampir setiap minggu ke Jementah untuk melawat suaminya, Azlan Aji, 28, dan anaknya, Nur Hayfah Azlan yang berusia tujuh bulan.


Menurutnya, suami mangsa tinggal dan bekerja di Jementah bersama-sama satu-satunya anak mereka, manakala Nor Hidayah menyewa di Serdang.

0 Response to "Penyelidik maut selepas pulang rindu pada suami dan anak berusia tujuh bulan (5 foto)"

Catat Ulasan