Pekerja Asing Pukul Polis Habis-Habisan

SEORANG anggota polis cedera parah selepas dibelasah sekumpulan pekerja kilang warga asing yang turut merampas senjata api miliknya.

Dalam kejadian jam 6 petang semalam Koperal Khosim Hat, 56, pergi membuat tinjauan selepas mendapat aduan tentang aktiviti perjudian di Jalan Besar, Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

Bagaimanapun di lokasi itu beliau telah dibelasah dari belakang oleh sekumpulan pekerja asing yang turut bertindak merampas pistol yang dibawa bersamanya.

Mujurlah selepas ditinggalkan dalam keadaan berlumuran darah, Khosim berjaya menghubungi Balai Polis Bukit Tengah bagi meminta bantuan.

Sekumpulan anggota polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian lalu menghubungi ambulan untuk membawanya mendapatkan rawatan.

Khosim yang sudah 20 berkhidmat dengan PDRM mengalami kecederaan di muka, patah tulang rusuk kanan dan terpaksa menerima lima jahitan di Hospital Bukit Mertajam.




Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zakaria Ahmad berkata, susulan insiden itu 23 pekerja asing warga Vietnam, Myanmar dan Nepal telah ditahan, 18 daripadanya bekerja di sebuah kilang di Bukit Tengah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Menurutnya senjata api jenis Walther P99 juga berjaya ditemui semula.

0 Response to "Pekerja Asing Pukul Polis Habis-Habisan"

Catat Ulasan