‘Anak Tak Pernah Pun Tanya Apa Yang Saya Mahu’



Ketika berjalan dalam market hari itu, saya melintasi sebuah warung. Di satu meja yang agak terasing, saya melihat rakan sekolah saya dulu yang berusia 60’an duduk minum kopi bersendirian.

Entah kenapa hati saya mendesak nak berjumpa dengannya. Lalu saya menghampirinya.
Nasi lemak dalam bungkus daun pisang disuap seperti terpaksa.

Setelah memberi salam, saya duduk semeja dengannya walaupun saya amat jarang duduk di kedai kopi.

Setelah beberapa minit berbual, saya bertanya tengan hal anak-anak. Dia diam, tetapi akhirnya bersuara dengan nada yang serius.

“Hang tahu kan aku ada empat anak. Semua dah bekerja dan duduk jauh. Di rumah, aku dengan bini aku saja. Aku sedih bila anak-anak aku telefon ke rumah, hanya bercakap dengan ibu mereka.

Semacam semua keempat-empat orang itu.

“Seingat aku, sekali dua rasanya dalam setahun ini mereka telefon bercakap dengan aku, nak minta pinjam duit dari aku. Tetapi cakap dengan ibu mereka juga.

“Kalau mereka bagi duit pun, aku jarang diberi. Ibu mereka saja yang diberi. Tak pernah pun tanya ‘Ayah ada duit tak?’ jangan harap! Sedih sangat,” katanya.

Sampai di sini, dia sudah mula sebak. Air matanya bergenang di kelopak mata tuanya itu. Segera disapu dengan belakang tangan tetapi digagahkan juga gelak kecil yang dibuat-buat untuk menyembunyikan rasa sedihnya.



Saya cepat memegang sebelah tangannya, meramas jarinya dan membisik kata sabar.

“Kalau nak beli apa pun, mereka tanya ibu mereka sahaja. Nak ajak berjalan pun, tanya ibu dulu. Kalau ibu tak mahu, tak jadi ke mana. Aku ini ayah mereka. Aku yang membesarkan mereka.

“Hari ini mereka bawa ibu mereka pergi ke Tesco. Aku pula tidak dibawa, apatah lagi nak dipelawa,” katanya lagi yang ternyata sedih dengan sikap anak-anaknya itu.

Bila dia berhenti bercakap, saya mencelah.

“Kita semacam saja, bahkan orang lain juga. Cuma mereka tak cerita. Tetapi nabi dah sebut dalam hadis, seseorang datang kepada Rasulullah dan berkata;

“Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?

Nabi menjawab, “Ibumu!”

Dan orang tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa lagi?”

Nabi menjawab, “Ibumu!”

Maka dia bertanya lagi, “Kemudian siapa lagi?”

Beliau menjawab, “Ibumu!”.

Orang tersebut bertanya lagi, “kemudian siapa lagi?”

Nabi menjawab, “Kemudian ayahmu,”.

“Betullah jika anak-anak kamu mengutamakan ibu mereka dari diri kamu sendiri. Nabi dah sebut dan suruh,”.

Dia mengangkat kepala dan memandang saya, seperti nak berkata, ‘betulkah ini? Saya terus menerang dan memujuk.

Kita semua adalah anak kepada seorang ibu dan ayah. Beringatlah pesan nabi ini tetapi jangan sampai terguris hati ayah. Jangan pula melebihkan ayah dari ibu, itu melanggar sunnah. Jangan kerana ibu kuat berleter, banyak pesannya, ingatannya, kawalannya, tegahannya maka kita melebihkan ayah.

Apa jua keadaan ibu kita, kita beri keutamaan kepadanya tetapi jangan keterlaluan dan juga jaga hak ayah.

Perasaan cemburu dalam meraih kasih anak tetap wujud pada ibu dan ayah. Apa lagi di usia tua dan kesunyian bila anak telah berpindah. Tetapi atas sifat orang tua, perkara ini tidak dizahirkan. Mereka menelannya dengan kesabaran dan senyuman.

Sedangkan jauh di lubuk hati, terguris sembilu yang tajam. Berhati-hatilah jika sesekali mereka bersuara dengan sindiran atau kata persis merajuk atau body language yang luar biasa.

Pertimbangkanlah setiap perlakuan, tindakan kepada kedua-duanya. Jangan sampai mereka berdua berlumba meraih kasih anak-anak. Berlaku adillah, bukan saja pada kebendaan yang dihulur tetapi pada setiap kata, setiap gerak laku kerana semua dinilai oleh ayah dan ibu.

Dahulukan ibu tetapi jangan sampai ayah terasa terpinggir. Masa kecil, anak dimanjakan ayah ibu. Bila tua, ayah ibu mengharap dimanjakan. Renungkan, jangan ambil mudah.

Hari itu, saya terpaksa makan dan minum di kedai kopi untuk memujuk sahabat ini. Memang hodoh jika orang tua merajuk. Air mata tua berjurai, hanya yang tua sebaya yang ada anak-anak sahaja yang memahami.

Tidak akan ada ayah yang akan merayu bagai anak kecil meminta didokong sama seperti adik kecil dalam dokongan. Jika ibu anda dilayan bagaikan anak kecil yang didokong, peganglah tangan si abang yang ibarat kepada ayah untuk dibimbing bersama berjalan.

Pada kita itu perkara kecil, belum tentu pada ayah ibu. Fikirkanlah kalimah ibarat ini sebagai inti kepada maksud tersirat pada tulisan ini.

0 Response to "‘Anak Tak Pernah Pun Tanya Apa Yang Saya Mahu’"

Catat Ulasan