Susulan pendedahan sebuah portal hiburan mengenai penyanyi Tegar yang ditipu pengurus, muncul pula sebuah video baharu yang mendedahkan perihal pengurus berkenaan.
Pemilik Facebook yang menggunakan akaun Nur JM Mohd Official pada Selasa telah memuat naik video menceritakan sikap pengurus artis itu yang bukan sahaja melakukan perbuatan buruk terhadap Tegar, malah kepada beberapa artis lain.
Nur JM Mohd yang berasal dari Singapura dan popular dengan video-video gosip di Facebook miliknya berkata, pengurus Tegar yang bernama “A” adalah seorang penipu besar.
“Seorang pengurus yang besar punya penipu, pengurus jatuhkan orang lain untuk kepentingan sendiri dan seorang pengurus yang busukkan management untuk selamatkan diri sendiri,” katanya.
Dalam rakaman video berdurasi 4.20 minit itu Nur JM Mohd turut berkata selama setahun pengurus berkenaan menguruskan Tegar, penyanyi itu tidak mempunyai wang simpanan yang cukup kerana ditipu pengurus berkenaan.
Malah Tegar juga dikatakan “hilang” selama sebulan semasa di Malaysia dan sukar dihubungi sehinggalah lokasi artis cilik itu berjaya dikesan oleh seseorang menyebabkan pengurus berkenaan mula takut.
“Masa Tegar di Malaysia selama sebulan (dia) senyap dan bila Tegar dapat dikesan ‘A’ takut dan hantar Tegar pulang (ke Indonesia),” katanya.
Tambah Nur JM Mohd lagi, dia turut kesal dengan perbuatan pengurus itu kerana memperlakukan sedemikian rupa kepada Tegar yang merupakan seorang miskin.
Malah dalam rakaman itu Nur JM Mohd turut bersedia untuk mendedahkan kisah seterusnya mengenai individu tersebut yang juga merupakan rakyat Singapura.
Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 14, adalah penyanyi kanak-kanak yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang.
Dia sebelum ini merupakan penyanyi jalanan di Indonesia yang berjaya memikat hati penggemar muzik dengan kelunakan luar biasa suaranya.
Namun, dalam meniti arus populariti itu, dia telah ditipu oleh pengurusnya sendiri di Indonesia sebelum mengalami nasib serupa selepas seorang rakyat Singapura telah menjadi pengurus baharunya.
Bagaimanapun pengurus baharu berkenaan dilaporkan tidak lagi menjaga Tegar sejak sebulan lalu. -mstar
Hosted on: kamithemedia.blogspot.com
0 Response to "Nur JM Dedah Penipuan Pengurus Tegar"
Catat Ulasan