PILOT MALINDO AIR 'BERTENGKAR' DALAM KOKPIT, PENUMPANG TINGGALKAN PESAWAT
GEORGE TOWN - Juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat Malindo Air didakwa bergaduh di dalam kokpit menyebabkan beberapa orang penumpang mengambil keputusan untuk meninggalkan pesawat beberapa minit sebelum pesawat berlepas.
Bagaimanapun, pesawat itu selamat mendarat selepas mengalami kelewatan selama 50 minit apabila tujuh penumpangnya mengambil keputusan untuk keluar dan tidak meneruskan perjalanan dengan pesawat berkenaan.
Pesawat itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 9.40 malam dan tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 10.40 malam Khamis yang membawa 59 orang penumpang.
Salah seorang dari 7 penumpang yang memuat naik insiden itu di laman sosial menjadi viral.
Seorang ahli perniagaan, Kee, 39, turut memuat naik gambar pesawat ketika kejadian.
Dedahnya, semua penumpang dalam pesawat dapat mendengar suara orang menjerit dari kokpit.
"Terang-terangan kapten dan pembantu juruterbang sedang bergaduh besar. Jeritan mereka sangat kuat hingga menyebabkan semua penumpang terkejut. Kemudiannya pramugari dilihat keluar daripada kokpit dengan linangan air mata," katanya.
Ekoran insiden itu, seorang penumpang warga asing (individu pertama) meminta kebenaran untuk turun daripada pesawat.
"Beberapa minit selepas itu, saya bertanya kepada pramugari apa sebenarnya yang berlaku. Atas faktor keselamatan, saya bersama-sama dengan 20 penumpang lain turut membuat keputusan untuk meninggalkan pesawat.
"Kami kemudiannya pergi ke bangunan utama dan beberapa ketika selepas itu juruterbang datang dan memohon maaf daripada kami. Dia turut memujuk kami agar kembali menaiki pesawat," katanya.
Setelah dipujuk, ramai di antara mereka mengambil keputusan untuk kembali ke dalam pesawat. Namun, Kee dan enam penumpang yang lain tetap tidak berganjak dari keputusan mereka kerana bimbang masalah emosi yang dihadapi oleh kapten dan pembantunya akan menjejaskan penerbangan mereka.
"Saya sangat takut selepas menyaksikan situasi tersebut, saya merasakan mereka tidak layak untuk menerbangkan pesawat dalam keadaan tertekan, dan anak kapal juga tidak dapat memastikan keselamatan penumpang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin berkata syarikat penerbangan itu mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan pekerjanya termasuk anak kapal pesawat berkenaan selain dari meminta maaf di atas insiden berkenaan.
Menurut beliau, satu penjelasan perlu dibuat terlebih dahulu dan mendakwa para penumpang telah salah tafsir akan situasi yang sebenarnya berlaku di kokpit.
Tambahnya lagi, berdasarkan rakaman suara di kokpit, kapten dikatakan sedang mengarahkan juruterbang pelatih dengan satu arahan yang tegas kerana kedua-dua mereka sedang bersiap sedia untuk berlepas.
Bagaimanapun, selepas mendengar arahan yang kuat daripada kokpit, salah seorang penumpang mengambil keputusan untuk turun dari pesawat di atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Tindakan individu itu menyebabkan 18 penumpang yang lain turut mengambil keputusan yang sama.
Kedua-dua kapten dan pembantu juruterbang mengikut prosedur standard dengan memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku kepada penumpang. Juruterbang turut memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan yang berlaku dan salah faham yang timbul.
Insiden tersebut menyebabkan pesawat berkenaan mengalami kelewatan selama 50 minit, dan pesawat hanya berlepas pada pukul 10.30 malam dengan hanya beberapa orang penumpang yang mengambil keputusan untuk mengambil alternatif lain.
Beliau menambah, keselamatan dan keselesaan penumpang merupakan keutamaan utama syarikat penerbangan tersebut dan mereka juga mengekalkan operasi perkhidmatan di peringkat tertinggi
0 Response to "PILOT MALINDO AIR 'BERTENGKAR' DALAM KOKPIT, PENUMPANG TINGGALKAN PESAWAT"
Catat Ulasan